Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 2 MAC – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sekali lagi telah mengadakan Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan JAPEM kepada 114 ketua keluarga yang terlibat dalam bencana banjir yang berlaku pada Disember 2020 dan Januari 2021 di Daerah Tutong.
Majlis berlangsung di Kompleks Kemasyarakatan, Daerah Tutong, hari ini dan hadir menyampaikan bantuan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan setiausaha tetap di KKBS dan pemangku pegawai Daerah Tutong.
Pemangku Timbalan Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa sejumlah $57,000 disampaikan secara serentak kepada ketua-ketua keluarga dari 114 buah rumah yang terlibat dalam kejadian bencana banjir dari 13 buah kampung di Daerah Tutong pada majlis itu.
Dengan sumbangan berkenaan, tambahnya, pihak jabatan berharap ia dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban para mangsa dan bermanfaat dalam usaha membina semula kehidupan yang setentunya penuh dengan cabaran dan dugaan. Kejadian banjir yang berlaku pada Disember 2020 dan Januari 2021 itu telah menjejaskan sebilangan rumah di Mukim Pekan Tutong, Kiudang, Tanjong Maya, Lamunin, Ukong dan Rambai.
Pemberian bantuan kewangan kerajaan berkenaan bertujuan untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana bagi meneruskan kehidupan seharian.
Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

