Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Seramai 114 peserta daripada kalangan tenaga pengajar dan pelajar yang memenangi pelbagai pertandingan kokurikulum anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI) yang dijalankan sepanjang tahun ini diraikan pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Cenderahati, hari ini.
Majlis yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah itu dihadiri oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Mariana binti Haji Jamil, selaku tetamu khas dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para penerima.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan diserikan lagi dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang pemenang yang diraikan.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Pelajaran Ugama di Bahagian Sekolah Arab, JPI, Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan.
Acara itu merupakan aktiviti tahunan Bahagian Kokurikulum, JPI bagi menzahirkan penghargaan dan sebagai insentif kepada guru-guru dan pelajar-pelajar untuk terus berusaha demi kejayaan dalam bidang pendidikan khususnya bidang kokurikulum.
Tujuan majlis diadakan adalah untuk mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya.
Antara pertandingan kokurikulum yang telah dikendalikan oleh Bahagian Kurikulum, JPI pada tahun ini termasuk Pertandingan Mari Bercerita dalam Bahasa Arab (Individu); Peraduan Syarahan Tafsir Al-Quran bagi Murid-murid Sekolah Ugama; Peraduan Membaca Ayat-ayat Lazim bagi Murid-murid Berkeperluan Khas (MBK) bagi Sekolah-sekolah Ugama; Peraduan Membaca Rawi bagi Murid-murid Sekolah Ugama dan Peraduan Membaca Al-Quran bagi Pegawai-pegawai dan Guru-guru Ugama sempena Sambutan Hari Guru Ke-34, Tahun 2024.