Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 16 JULAI – Gerai Perayaan yang menjadi acara tahunan dinanti-nantikan kembali memeriahkan suasana malam di Daerah Belait, bermula 15 Julai sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79.
Gerai-gerai yang didirikan di persekitaran kawasan Tudong Saji, Daerah Belait ini mencerminkan tradisi tahunan negara dalam menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda dengan suasana kemasyarakatan yang meriah dan penuh keterlibatan.
Gerai perayaan dibuka kepada orang ramai dari jam 5 petang hingga 11 malam setiap hari mulai 15 Julai hingga 14 September, dengan penyertaan seramai 115 pengusaha-pengusaha tempatan yang menawarkan pelbagai barangan serta sajian makanan yang menyelerakan, sekali gus mewujudkan suasana meriah setiap malam.
Para pengusaha dikategorikan kepada beberapa kumpulan, termasuk lapan gerai makanan dan minuman, 66 buah gerai makanan siap masak atau dimasak menggunakan gas, 28 menggunakan peralatan elektrik untuk penyediaan makanan, sembilan pengusaha runcit dan empat gerai yang menjual makanan salai.
Selain gerai-gerai jualan, pelbagai persembahan malam turut diadakan setiap hari dengan penglibatan kumpulan, persatuan, dan agensi yang berbeza.
Persembahan yang pelbagai ini bukan sahaja menghiburkan, malah turut menyemarakkan suasana meriah di kawasan gerai perayaan.