Oleh Sim Y. H.
TUTONG, 4 MAC – Seramai 115 orang penuntut telah berjaya mendaftar apabila Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) menerima kemasukan penuntut-penuntut baru berkenaan bagi sesi 2025/2026 dalam Majlis Kemasukan dan Orientasi yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Tutong, baru-baru ini.
Majlis orientasi selama tiga hari berkenaan dimulakan dengan sesi orientasi di mana semua guru, ibu bapa dan pelajar-pelajar baru turut serta dalam program yang disusun termasuk menyanyikan lagu kebangsaan dan bacaan surah Al-Fatihah serta bacaan doa selamat.
Majlis turut menyaksikan Pengetua Pusat Tingkatan Enam Tutong, Cikgu Muhd Shahnofazli bin Haji Sabli menyampaikan ucapan alu-aluannya dan dikuti oleh sesi-sesi taklimat.

Taklimat daripada bahagian akademik disampaikan oleh Timbalan Pengetua Akademik PTET, Cikgu Koo Keung Eng, manakala taklimat daripada bahagian pentadbiran disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran PTET, Cikgu Haji Azrin bin Haji Bolhassan dan taklimat PTET-PIBG (Persatuan Ibu bapa dan Guru PTET) disampaikan oleh Timbalan Pengerusi PTET-PIBG, Cikgu Haji Rosaimi bin Haji Abdul Manaf.

Majlis kemudian menyaksikan para pelajar sama-sama melaungkan ikrar pelajar dan seterusnya beredar ke kelas masing-masing bagi sesi pendaftaran dan pembayaran pakej pendaftaran pelajar enam bawah sesi 2025/2026.

Sesi orientasi diteruskan dengan penyampaian taklimat oleh wakil-wakil dari setiap bahagian dalam sekolah iaitu bahagian Hal Ehwal Pelajar, bahagian Disiplin, bahagian Blok Sistem, Bahagian Kemudahan dan Latihan Kebakaran, Bahagian Peperiksaan, Bahagian PS (Personal Studies), Bahagian SBV35, Bahagian Hubbul Al-Quran, Bahagian Ko-Kurikular (CCA), Bahagian Kaunseling, sesi kongsi sama pelajar-pelajar U6, sesi lawatan sekolah bersama pelajar-pelajar MPP/PRR 2024/2025 serta taklimat daripada bahagian Perpustakaan dan diikuti sesi melawat Perpustakaan PTET.
Semua di atas: Antara aktiviti yang diadakan semasa orientasi berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH PTET