Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Seramai 33 orang terdiri daripada ahli-ahli Kumpulan Belia Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai telah mengikuti lawatan ke Biro Kawalan Narkotik (BKN), kelmarin.
Rombongan lawatan diketuai oleh Penyelia Kumpulan Belia Masjid PAHMA, Awang Muhamad Padini bin Ta’ai.
Lawatan dimulakan dengan mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Narkotik Kanan, Haji Zainidi bin Haji Hamid dan Ketua Pegawai Narkotik II, Dayangku Nurqalbi binti Pengiran Haji Soffian.

Di akhir taklimat, sesi soal jawab juga diadakan dan seterusnya rombongan berpeluang menyaksikan pameran BKN.
Adapun tujuan lawatan diadakan adalah untuk mengisi masa lapang para belia semasa musim cuti persekolahan dan seterusnya memberi ilmu pengetahuan mengenai peranan dan tanggungjawab BKN di negara ini di samping memberikan nasihat bermanfaat kepada belia untuk mengelakkan perkara-perkara negatif.