Sunday, November 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    117 anak yatim terima sumbangan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Seramai 117 orang anak yatim dari Kampung Sengkurong A, Sengkurong B, Kampung Tagap, Kampung Selayun dan Kampung Tanjung Nangka telah diraikan dalam majlis penyampaian derma yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, hari ini.

    Majlis anjuran Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali itu bertujuan untuk memberikan senyuman kepada anak-anak yatim dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos.

    Sumbangan adalah hasil terkumpul daripada orang ramai melalui Tabung Khas Anak Yatim yang dibukakan oleh masjid berkenaan yang telah mendapat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam Brunei selain daripada persatuan dan orang perseorangan.

    Pada majlis itu, Pengarah Urusan Gunung Jati bersama Anak-anak Syarikat dan Kelab Nissan Terra Brunei, Haji Yussof bin Haji Metussin dan isteri turut menyumbangkan hamper dan sumbangan peribadi Nazmi Textile disampaikan oleh Dayang Nasirah binti Abdullah.

    Selain digunakan dalam membuat persiapan Hari Raya nanti, sumbangan berkenaan juga boleh digunakan bagi perbelanjaan persekolahan dan keperluan lain anak-anak yatim.

    Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah.

    Dato Seri Paduka Mohamed Riza menyampaikan derma kepada anak-anak yatim. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Wakil Nazmi Textile menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pengarah Urusan Gunung Jati bersama Anak-anak Syarikat dan Kelab Nissan Terra Brunei menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda