KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Sebanyak 118 syarikat runcit Filipina menyertai Hari Jualan Dalam Talian ASEAN (AOSD) kali kedua yang diadakan baru-baru ini dan menggunakan peluang platform e-dagang untuk mempromosi serta meningkatkan jualan.
Daripada jumlah itu, 56 syarikat menyasarkan negara jiran ASEAN dan syarikat yang mengambil bahagian terdiri daripada pelbagai sektor meliputi makanan dan minuman, pelancongan dan perjalanan, fesyen, e-pasar, barangan pengguna, kraf dan kelangkapan rumah, menurut kenyataan Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina di Kuala Lumpur (DTI) kepada Bernama.
Turut mengambil bahagian perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan produk termasuk makanan ringan, barangan segar, coklat, kopi, kosmetik, barang tenunan, dan hiasan rumah.
“Ketika kita mengejar pemulihan ekonomi dan membangun dengan lebih baik pada era pasca pandemik, marilah kita memanfaatkan e-dagang untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi kita.
“Penyertaan dalam AOSD tahun ini akan membolehkan kami mencipta “Better Normal” dengan memanfaatkan faedah e-dagang di rantau ini,” kata Setiausaha Perdagangan Filipina, Ramon M. Lopez menerusi kenyataan itu.
Menurut DTI, e-dagang telah menyumbang 3.4 peratus atau AS$412 bilion (P$500 bilion) untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2020.
Filipina menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan menerusi e-dagang menjadi AS$17 bilion (P$850 bilion) atau 4.3 peratus daripada KDNK menjelang 2021 dan AS$24 bilion (P$1.2 trilion) atau 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022. – Bernama