THE HAGUE, 11 JULAI – Polis telah menyelamatkan 1,194 individu yang berpotensi menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan menahan 158 suspek menerusi serbuan serentak di 43 negara bulan lalu, menurut Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Kesatuan Eropah, Europol, dalam kenyataan hari ini.
Operasi dikenali sebagai ‘Global Chain’ itu melibatkan 15,000 anggota penguat kuasa yang digerakkan untuk menyasarkan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludupan di Eropah, Afrika, Asia dan benua Amerika.
Mangsa yang diselamatkan berasal dari 64 negara, terutamanya dari Romania, Ukraine, Colombia, China dan Hungary.
“Ramai mangsa telah diseludup merentasi sempadan malah benua, sekali gus menunjukkan ciri-ciri global jenayah pemerdagangan manusia ini,” menurut kenyataan Europol.
Hasil siasatan mendapati majoriti mangsa eksploitasi seksual terdiri daripada wanita dewasa, manakala mangsa bawah umur sering dieksploitasi untuk aktiviti seperti mengemis secara paksa dan jenayah seperti mencuri dan menyeluk saku.

Dalam satu kes, polis Austria telah memberkas tujuh suspek pemerdagangan manusia dan menyelamatkan lapan wanita dalam operasi rentas sempadan yang menyasarkan sindiket jenayah Romania.
Suspek terdiri daripada enam warga Romania dan seorang warga Hungary, yang dipercayai anggota rangkaian jenayah kekeluargaan yang beroperasi di beberapa negara EU.
Mangsa didakwa direkrut menggunakan taktik ‘lover-boy’, di mana suspek berpura-pura menjadi pasangan romantik sebelum memaksa wanita tersebut terlibat dalam aktiviti pelacuran.
Di Brazil, polis persekutuan menumpas sindiket yang menipu mangsa dengan tawaran pekerjaan palsu, sebelum menghantar mereka ke Myanmar untuk tujuan eksploitasi seksual, menurut pihak berkuasa.
Manakala di Thailand, polis telah mematahkan rangkaian pelacuran yang melibatkan kanak-kanak bawah umur yang beroperasi melalui platform media sosial popular, dengan 12 suspek ditahan. – AFP