Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 31 DIS – Seramai 12 orang anak yatim di Daerah Temburong telah diraikan pada Majlis Makan Tengah Hari bersama Anak-anak Yatim di YS Kojo Temppayaki, Kompleks Higher Point baru-baru ini.
Majlis berkenaan telah diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim berkenaan yang disempurnakan oleh penyelaras program, Haji Mohd Taib bin Othman yang juga selaku penaja jamuan.
Pada majlis itu, beberapa buah syarikat perniagaan dan orang perseorangan turut menghulurkan derma masing-masing.
Dengan adanya sumbangan derma berkenaan diharap akan dapat meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim dalam membuat persiapan bagi penggal persekolahan 2021 sekali gus dapat menabung bagi kegunaan masa hadapan mereka.
Turut hadir pada majlis itu ialah ketua Kampung Labu Estet, mantan penghulu Mukim Labu Temburong, ahli keluarga Haji Mohd Taib dan para penyumbang.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh salah seorang anak yatim.
