Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Seramai 12 orang bakal jemaah haji diraikan dalam Majlis Doa Selamat bakal jemaah haji bagi Tahun 1446H / 2025M bagi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya, yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, MTIC, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri MTIC, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, yang kemudiannya menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada para bakal jemaah haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Turut hadir pada majlis yang dikelolakan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) ialah setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di MTIC, ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pegawai Perkembangan Agama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa dan seterusnya menyampaikan ceramah khas bertajuk Jangan Sia-siakan Waktu Yang Ada.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan para bakal jemaah haji, supaya segala urusan akan dipermudahkan dan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta memperoleh haji yang mabrur.