Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 ejen pelancongan Sarawak teroka Brunei

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Seramai 12 ejen pelancongan dari Sarawak berpeluang untuk mengadakan lawatan pengenalan ke Negara Brunei Darussalam pada 23 hingga 26 September.
     
    Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), di sini, lawatan pengenalan itu dihoskan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui JKP dengan kerjasama Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) yang menggabungkan sesi rangkaian dan aktiviti pengenalan bagi membolehkan para peserta membina hubungan profesional sambil mengalami sendiri tawaran pelancongan Brunei serta mengukuhkan lagi kolaborasi serantau dan menyokong pertumbuhan pasaran.
     
    Semasa program empat hari itu, para peserta meneroka pelbagai tarikan termasuk lawatan sekitar ibu negara, pasar tempatan, pengembaraan hutan hujan serta pengalaman kebudayaan dan tradisional.
     
    Lawatan itu memberikan gambaran mendalam kepada mereka mengenai tarikan pelancongan unik Brunei, membolehkan mereka mempromosikan pakej-pakej pelancongan baharu yang mengetengahkan Brunei sebagai destinasi pelengkap kepada Sarawak.
     
    Di samping itu, sesi rangkaian turut diadakan di sebuah hotel tempatan, yang menghimpunkan 20 agensi berpangkalan di Brunei termasuk ejen pelancongan, pengusaha hotel, penyedia perkhidmatan pelancongan dan 12 ejen pelancongan dari Sarawak.
     
    Gambar ramai ejen pelancongan dari Sarawak semasa mengadakan lawatan pengenalan ke Negara Brunei Darussalam baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JKP
    Para peserta meneroka salah satu tarikan menarik di Brunei. – GAMBAR SERAHAN JKP
    Sesi itu memberikan peluang bagi perbincangan perniagaan, pertukaran idea dan potensi kolaborasi bagi pakej pelancongan bersama, mengetengahkan dan mengukuhkan manfaat pendekatan unik gabungan lawatan pengenalan dan rangkaian, yang membolehkan para peserta untuk membina hubungan sambil merasai sendiri tawaran pelancongan Brunei.
     
    Kedudukan dekat Sarawak dengan Brunei, yang boleh diakses melalui darat dan udara, menawarkan peluang ideal bagi pengalaman kebudayaan dan cuti pendek. 
     
    Memanfaatkan penerbangan langsung antara Kuching dan Bandar Seri Begawan melalui RB bersama-sama akses darat, Jabatan Kemajuan Pelancongan berhasrat untuk mengukuhkan promosi bersama dan pelancongan pelbagai destinasi di serata Borneo.
     
    Pendekatan itu memanfaatkan pasaran antarabangsa yang berkembang bagi kedua-dua destinasi, meletakkan Brunei dan Sarawak sebagai pakej berkembar, membolehkan pelawat untuk menikmati pengalaman warisan dan budaya unik Brunei dengan tarikan pengembaraan dan semula jadi Sarawak.
     
    Secara keseluruhannya, sesi rangkaian dan lawatan pengenalan itu, mempamerkan komitmen Brunei Tourism kepada kerjasama serantau dan pelancongan pelbagai destinasi serata Borneo.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda