12 individu ditahan dalam Ops Black

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Seramai 12 individu, termasuk seorang yang disyaki dalang aktiviti sindiket dadah telah ditahan dalam Operasi Black yang dijalankan pada 19 dan 28 September lalu.

Suspek-suspek terdiri daripada sembilan orang lelaki dan tiga wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 53 tahun.

Operasi itu juga menyaksikan beberapa peket dipercayai mengandungi syabu dengan berat 55 gram keseluruhannya, penimbang digital dan perkakas yang digunakan untuk penggunaan dadah terkawal telah dirampas sebagai bahan bukti.

Semasa operasi tersebut, dua individu yang menjalani kuarantin di salah sebuah pusat pengasingan ditahan kerana disyaki menggunakan dadah.

Siasatan juga mendapati bahawa individu-individu terbabit telah mengambil dadah semasa berada di dalam kuarantin. Dadah tersebut disembunyikan dalam beg yang turut diisi dengan barang-barang makanan dan dihantar oleh rakan mereka. Individu yang menghantar dadah berkenaan turut ditahan.

Kesemua suspek berdepan pertuduhan mengedar dadah, memiliki dadah, mengambil dadah dan memiliki perkakas yang digunakan untuk mengambil dadah.

Sehubungan itu, BKN menyeru orang ramai untuk berganding bahu dalam memerangi kegiatan dadah haram, terutama dalam keadaan negara yang bergelut dengan cabaran mengawal penularan COVID-19. Di samping itu, BKN berpuas hati atas kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh perisik keselamatan, agensi penguatkuasaan dan pihak kementerian yang membawa kepada kejayaan operasi tersebut.

ATAS & BAWAH: Antara barangan yang dirampas oleh pihak berkuasa semasa Operasi Black. – Gambar serahan BKN