Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Lebih 10 orang pemilik GWM Poer berkonvoi ke Daerah Tutong bagi menyampaikan sumbangan kepada 12 buah keluarga yang kurang berkemampuan sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Berjaya Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) buat kali pertama.
Menyertai rombongan berkenaan ialah pelanggan dan kakitangan Berjaya Sdn Bhd.
Menurut Berjaya Sdn Bhd, sumbangan berkenaan adalah tanda keprihatinan mereka terhadap orang yang memerlukan.
Selain membantu mereka yang memerlukan, rombongan berkenaan juga berkesempatan menikmati keindahan alam sekitar di daerah pedalaman Long Mayan dan Kampung Bukit.
Sumbangan berupa keperluan makanan asasi harian daripada Berjaya Sdn Bhd itu merupakan cara mereka mengucapkan terima kasih kepada masyarakat.
Dengan tema Drive for a Good Cause, acara kebajikan berkenaan merupakan acara amal tahunan dan tanggungjawab sosial korporat Berjaya Sdn Bhd.
