12 kereta terbiar dipindah

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Sebanyak 12 buah kereta telah dikenal pasti dan dipindahkan dalam operasi berserpadu bagi pemindahan kenderaan terbiar di kawasan letak kereta Parkland Industrial, Jalan Ban 5, Kampung Mulaut, Mukim Sengkurong dan di tepi Jalan Ban 5, Mulaut, kelmarin.

Operasi berkenaan melibatkan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara bersama Jabatan Pengangkutan Darat, Pasukan Polis Diraja Brunei (Balai Polis Sengkurong) serta syarikat pelupusan M.Han Enterprise.

Kesemua kenderaan tersebut ditempatkan di tapak penyimpanan syarikat bagi tindakan selanjutnya, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Beberapa buah kereta terbiar yang dipindahkan dalam operasi bersepadu di kawasan letak kereta Parkland Industrial.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan undang-undang serta peraturan-peraturan mengenai menyimpan dan membiarkan kenderaan dikawasan-kawasan letak kereta premis perniagaan, bengkel dan kawasan perindustrian.

Dalam hal ini, Jabatan Daerah Brunei dan Muara selaku ahli Jawatankuasa Projek Pemindahan Kenderaan Terbiar Seluruh Negara yang dipengerusikan oleh JPD, memaklumkan orang ramai bahawa operasi pemindahan berkenaan akan diteruskan di seluruh kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Untuk itu dipohonkan kerjasama orang ramai agar tidak membiarkan atau meninggalkan kenderaan-kenderaan dengan tujuan meninggalkan terutama sekali di tempat kawasan awam bagi memastikan kesejahteraan awam dan kebersihan sentiasa diberi keutamaan.