Thursday, March 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 lagi kes import baharu, seorang dipantau di ICU

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan 12 lagi kes import baharu COVID-19 setakat jam 12 tengah hari, meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 333 orang, manakala seorang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan di sini, 10 kes terbaharu daripada kes 322 sehingga 331 yang dilaporkan, merupakan sebahagian daripada 15 kontak rapat bagi kes 306, 307 dan 308 direkodkan pada 12 Julai lalu.

    Kesemua kes merupakan lelaki berusia antara 28 sehingga 51 tahun dan sebahagiannya mengalami simptom COVID-19 antaranya batuk, demam, hilang deria rasa, demam panas, sakit tekak, selesema dan tiada tanda-tanda jangkitan.

    Kesemua mereka telah menjalani kuarantin di atas kapal berkenaan sejak ketiga-tiga kes pertama dilaporkan pada 20 Julai yang lalu.

    Manakala dua lagi kes, 332 dan 333, adalah lelaki yang masing-masing berumur 26 dan 32 tahun dan tiba ke negara ini dari United Kingdom pada 12 dan 25 Julai lalu dan tidak mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan.

    Sementara itu, satu kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk pemantauan manakala yang selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

    Satu kes sembuh telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada 60 kes.

    Negara Brunei tidak mencatatkan kes komuniti dalam 446 hari, dengan kes import sejak 6 Mei 2020 pula sebanyak 192 kes.

    Sejumlah 739 orang sedang menjalani pengasingan mandatori, manakala 507 sampel telah diuji dalam masa 24 jam lalu.

    Bagi vaksinasi pula, sejumlah 147,727 orang telah menerima dos pertama dan kedua, dengan dos kedua sejumlah 23,337 orang manakala dos pertama 123,390 orang setakat 25 Julai, jam 5 petang.

    Dengan itu, sejumlah 27.2 peratus penduduk negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, dengan 5.1 peratus lagi menerima dua dos vaksin.

    Maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh dilayari di www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian 148 atau melalui aplikasi BruHealth.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda