MUMBAI, 21 JULAI – Mahkamah India hari ini membebaskan 12 lelaki yang sebelum ini disabitkan bersalah atas siri letupan bom yang memusnahkan kereta api komuter di Mumbai pada 2006 mengorbankan 187 orang.
Suspek tersebut disabitkan pada 2015 atas tuduhan membunuh, konspirasi, dan melancarkan perang terhadap negara itu berhubung serangan pada 11 Julai 2006 yang turut mencederakan lebih 800 orang.
Lima daripadanya dijatuhkan hukuman mati, manakala tujuh lagi dihukum penjara seumur hidup.
Bagaimanapun, 10 tahun kemudian, Mahkamah Tinggi Bombay mengetepikan keputusan mahkamah rendah dan membebaskan 12 lelaki itu.
Hakim Anil Kilor dan Shyam Chandak berkata dalam penghakiman mereka, pihak pendakwaan sama sekali gagal untuk membuktikan kesalahan terhadap tertuduh atas setiap pertuduhan.
Lelaki itu diperintahkan untuk dibebaskan dari penjara jika mereka tidak dikehendaki ditahan dalam mana-mana kes lain.
Pihak pendakwaan boleh merayu terhadap perintah itu di Mahkamah Agung. – AFP
