Friday, January 3, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 maut akibat banjir di Yaman

    DUBAI, 28 OGOS – Banjir kilat akibat hujan lebat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan menyebabkan lebih 20 orang lagi hilang di kawasan yang dikuasai pejuang di Yaman, lapor televisyen Al-Masirah yang dikendalikan Houthi hari ini.

    Banjir semalaman di Al-Mahwit, sebuah wilayah di barat ibu negara Sanaa yang diperintah oleh Houthi dan disokong Iran, telah mencetuskan tanah susur yang menimbus beberapa rumah, menurut Al-Masirah.

    Dua belas mayat telah ditemui di daerah Melhan di wilayah itu dan sekurang-kurangnya 21 orang masih hilang, kata Al-Masirah memetik pasukan pertahanan awam.

    Pihak berkuasa Houthi berkata mereka telah membentuk sebuah jawatankuasa yang ditugaskan untuk menyelaras tindak balas bencana, dan mula menyediakan makanan dan tempat tinggal kepada keluarga yang terjejas.

    Kawasan pergunungan di barat Yaman terdedah kepada hujan bermusim yang lebat. Sejak akhir Julai, banjir kilat telah mengorbankan 60 orang dan menjejaskan 268,000 orang di seluruh Yaman, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Wilayah barat dan tengah telah diberikan amaran tentang keadaan lebih buruk yang akan datang.

    “Dalam beberapa bulan akan datang, lebih banyak hujan diramalkan, dengan kawasan tanah tinggi tengah, kawasan pantai Laut Merah dan sebahagian kawasan tanah tinggi di selatan dijangka menerima paras hujan yang luar biasa melebihi 300 milimeter,” kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Isnin. – AFP

    Seekor anjing melihat ketika kanak-kanak mengisi air di dalam botol selepas banjir besar melanda baru-baru ini di selatan wilayah Hodeidah, Yaman, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda