JURM, AFGHANISTAN, 22 MAC – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di Afghanistan dan Pakistan akibat gempa bumi kuat yang dirasai sejauh ribuan kilometer, tetapi wilayah itu nampaknya berjaya mengelak bencana besar yang biasanya dikaitkan dengan gegaran berskala sedemikian.
Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata gempa bumi berukuran 6.5 magnitud itu berpusat berhampiran Jurm di timur laut Afghanistan, tetapi kedalaman 187 kilometer mengurangkan kerosakan besar.
Gempa itu, yang melanda sekitar 9:30 malam waktu Kabul kelmarin dan berlarutan lebih daripada 30 saat, dirasai dari Asia tengah ke New Delhi di India, lebih 2,000 kilometer jauhnya.
“Ia adalah gempa bumi yang kuat dan kami bimbang kerosakan maksimum disebabkan kekuatannya, sebab itu kami mengeluarkan amaran,” beritahu jurucakap perkhidmatan kecemasan Rescue 1122 Pakistan, di Khyber Pakhtunkhwa, Bilal Faizi kepada AFP.
“Tetapi nasib baik kebimbangan kami ternyata salah. Penduduk panik kerana gempa bumi yang besar, tetapi kerosakan adalah minimum,” tambahnya. – AFP
