Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 maut akibat taufan Rai

    CEBU, 17 DIS – Taufan kencang membadai Filipina sehingga menyebabkan pokok tumbang, bekalan elektrik terputus dan banjir ketika ia bergerak melintasi kepulauan hari ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 terkorban.

    Lebih 300,000 penduduk meninggalkan rumah dan kawasan peranginan tepi pantai ketika taufan Rai menuju ke wilayah selatan dan tengah negara itu, memutuskan hubungan di beberapa kawasan dan mengakibatkan atap rumah terbang.

    Rai menghentam pulau Siargao kelmarin dengan mencatatkan kelajuan maksimum angin selaju 195 kmsj. Hari ini, kelajuan angin mereda kepada 155 kmsj, menurut bahagian kaji cuaca.

    “Kami menyaksikan orang ramai berjalan keluar, kebanyakan mereka merasa terkejut,” menurut pelapor ABS-CBN, Dennis Datu dari bandar yang teruk terjejas, Surigao di pulau bahagian selatan Mindanao.

    “Kesemua bangunan mengalami kerosakan, termasuk pejabat bencana wilayah tersebut. Ia kelihatan seperti selepas serangan bom.”

    Datu berkata laluan utama menuju bandar pesisiran terputus oleh tanah susur, pokok tumbang dan tiang elektrik.

    Agensi bencana kebangsaan berkata tiga dilaporkan terkorban manakala dua lagi cedera akibat taufan itu, yang menuju ke kawasan tarikan pelancong di pulau Palawan. Lebih 300,000 orang meminta bantuan perlindungan kecemasan ketika taufan menuju Lautan Pasifik dan menghentam negara tersebut, menurut agensi. Kira-kira 18,000 orang masih belum dapat pulang ke rumah.

    Datuk bandar Surigao, Ernesto Matugas memberitahu ABS-CBN bahawa Rai telah membinasakan bandar yang mempunyai 170,000 penduduk selama beberapa jam, mengakibatkan kerosakan ‘teruk’.

    “Angin sangat kencang,” kata Matugas. “Semuanya mengalami kerosakan – atas terbang, laluan jalan terhalang oleh tanah susur.”

    Pegawai dari agensi bencana kebangsaan berkata ia masih terlalu awal untuk menentukan kerosakan di seluruh negara, namun laporan awal menunjukkan ‘ia tidak begitu teruk’ dan mereka tidak menjangkakan ‘ramai korban jiwa’. – AFP

    Tiang elektrik tumbang di sepanjang jalan di Cebu selepas dibadai oleh Taufan Rai. Dilaporkan sekurang-kurangnya 12 terkorban akibat taufan itu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda