Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 maut nahas bas akibat brek gagal

    PADANG, 6 MEI – Sebuah bas yang membawa 34 penumpang hilang kawalan semasa menuruni jalan curam lalu terbalik di wilayah Sumatera Barat, Indonesia hari ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 orang maut dan beberapa lagi cedera, menurut pihak polis.

    Bas antara wilayah itu dalam perjalanan dari Medan, Sumatera Utara ke ibu kota Indonesia, Jakarta apabila breknya dipercayai gagal berfungsi berhampiran sebuah terminal bas di bandar Padang, kata Pengarah Polis Trafik Sumatera Barat, Reza Chairul Akbar Sidiq.

    Menurut beliau, siasatan masih dijalankan, namun mangsa yang terselamat memberitahu pihak berkuasa bahawa pemandu kehilangan kawalan ketika melalui kawasan berbukit curam di Padang selepas brek gagal berfungsi.

    Sebahagian besar daripada 12 mangsa yang maut, termasuk dua kanak-kanak, ditemui tersepit di bawah bas yang terbalik, katanya. Semua mangsa, termasuk 23 orang yang cedera, telah dibawa ke dua buah hospital berdekatan.

    Daripada jumlah itu, 13 orang dirawat kerana mengalami kecederaan serius dan pemandu juga dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. Rakaman televisyen tempatan menunjukkan bas yang remuk di sisi jalan, dikelilingi pasukan penyelamat dari Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, polis serta orang awam, manakala ambulans bergegas membawa mangsa cedera dan yang terkorban. – AP

    Orang ramai memeriksa bangkai sebuah bas penumpang selepas ia hilang kawalan ketika menuruni jalan curam dan terbalik di Padang Panjang, wilayah Sumatera Barat, Indonesia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda