Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    12 mayat ditemui insiden kapal terbelah dua

    BEIJING, 4 JULAI – Dua belas mayat telah ditemui selepas insiden kapal karam di Laut China Selatan pada hujung minggu lalu, mengakibatkan puluhan krunya hilang, menurut pihak berkuasa China hari ini.

    Penemuan mayat kru kapal kejuruteraan itu diumumkan selepas ia mengalami kerosakan teruk pada kedudukan 296km ke barat daya Hong Kong pada hujung minggu dan terbelah dua ketika taufan melanda.

    “Setakat jam 3:30 petang hari ini, pasukan penyelamat telah menemui 12 mayat dipercayai mangsa lemas kira-kira 50 batu nautika dari barat daya lokasi kapal karam itu.

    “Pengesahan identiti sedang dibuat oleh jabatan berkenaan,” menurut Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim Guangdong. Media China, CGTN melaporkan seramai 30 kru meninggalkan kapal dikenali sebagai Fujing 001 itu yang digunakan untuk pembinaan tenaga angin luar pesisir, selepas rantai sauhnya terputus akibat taufan. CCTV pula melaporkan, kren terapung bagi projek ladang angin luar pesisir itu didapati berada dalam keadaan bahaya oleh sistem pemantauan, kelmarin, sebelum ia tenggelam.

    Terdahulu media China melaporkan, tiga kru terbabit berjaya diselamatkan kelmarin diikuti seorang lagi pada awal pagi tadi, manakala nasib 26 anak kapal yang lain masih belum diketahui.

    Menurut CCTV, pasukan penyelamat telah memperluaskan skop pencarian di sekitar lokasi kejadian, dengan petugas perubatan dihantar bersama setiap kapal penyelamat bagi memberi bantuan segera kepada mana-mana mangsa yang berjaya ditemukan.

    Rakaman awal oleh pihak berkuasa Hong Kong menunjukkan seorang individu diselamatkan dengan menggunakan helikopter, ketika ombak terus menghempas dek kapal berkenaan yang separuh tenggelam.

    Kapal tersebut dipercayai karam dan terbelah dua selepas dibadai Taufan Chaba yang terbentuk di bahagian tengah Laut China Selatan dan melanda wilayah Guangdong di selatan China, kelmarin. – AFP

    Imej serahan perkhidmatan penerbangan Hong Kong menunjukkan kru helikopter penyelamat menghampiri kapal karam di Laut China Selatan, 300km ke selatan Hong Kong, kelmarin ketika Taufan Chaba menghambat usaha mencari dan menyelamat. Dua hari selepas insiden itu, 12 mayat mangsa kapal karam itu ditemui. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...