12 nelayan Vietnam ditahan, gamat dirampas

KUDAT, 15 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menahan 12 nelayan Vietnam ketika sedang leka memproses gamat disyaki ditangkap secara haram di perairan daerah ini dan merampas hasil laut itu yang dianggarkan seberat 450 kilogram, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata kesemua nelayan itu ditahan di atas dua bot berasingan ketika mereka sedang bersauh tidak jauh antara satu sama lain di kedudukan sekitar 13 batu nautika Timur Laut Pulau Tigabu, Kudat, kira-kira jam 8.30 pagi.

Beliau berkata anggota APMM membuat rondaan turut memeriksa bot digunakan nelayan berkenaan, dan hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot itu adalah bot berpendaftaran Malaysia dan kesemua nelayan terbabit juga bekerja di atas bot secara sah berdasarkan kepada dokumen dikemukakan.

“Ini adalah kes ketiga melibatkan tangkapan gamat di perairan Kudat pada bulan ini. Bot seperti ini menggunakan peralatan diharamkan, malah jika kita lihat pada lesen dikeluarkan kepada mereka ialah lesen menangkap ikan menggunakan pukat atau rawai dan bukannya lesen bagi menangguk gamat.

APMM akan memantau perkara ini secara serius dan tegas. Walaupun mereka mempunyai lesen, namun APMM akan membuat siasatan lanjut dan merujuk pada jabatan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Boon berkata pemilik bot-bot tempatan berdaftar seharusnya lebih mengetahui undang-undang dan peraturan ditetapkan selain wajib memaklumkan kepada setiap pekerja asing yang digaji mengenai peraturan tersebut dengan jelas sebelum membenarkan mereka mengendalikan bot termasuk sentiasa memantau setiap tindakan pekerja terbabit.

Kesemua nelayan serta kedua-dua bot mereka dibawa ke Jeti Awam Kudat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menggunakan peralatan tidak dibenarkan, katanya. – Bernama