Oleh Daniel Lim
BELAIT, 22 APRIL – Dengan berbekalkan semangat kesukanan di samping sambutan Hari Raya Aidilfitri, satu kejohanan Sepak Takraw telah diadakan pada 20 April lalu oleh Pasukan Sepak Takraw Kampung Panaga A.
Kejohanan yang menyeronokkan dan meriah berkenaan disertai sebanyak 12 pasukan yang terdiri daripada belia dari seluruh Kampung Panaga dan diadakan di gelanggang sepak takraw yang terletak di kediaman Awang Musa bin Brahim.
Ketua RPN Kampong Panaga A, Muhammad Nurzairie bin Abdullah Peter memuji semangat kesukanan para belia walaupun masih dalam bulan Syawal.
Beliau menekankan bagaimana pertandingan berkenaan boleh membantu mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menggalakkan gaya hidup sihat.
Begitu juga pembantu penganjur, Awang Musa berkongsi mengatakan bahawa sepak takraw adalah minat yang dikongsi dalam keluarganya dengan dua anak lelakinya yang aktif bermain sukan tersebut.
Sepanjang pertandingan, setiap pasukan bersaing antara satu sama lain dalam menaikkan kedudukan dalam format round robin, dengan Pasukan S.T.P. 4 muncul sebagai juara pada akhirnya.
Penganjur pertandingan berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei atas sokongan mereka dalam memastikan keselamatan jalan raya sepanjang acara berlangsung.

