Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Sebanyak 12 pasukan mewakili lapan bahagian di bawah Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet (JPPE), Kementerian Pendidikan, telah menyertai Perlawanan Persahabatan Boling Piala JPPE ke-5 yang berlangsung di Pusat Boling iBowl Utama, di ibu negara, pada 24 Ogos lalu.
Perlawanan anjuran JPPE itu menghimpunkan seramai 48 peserta dalam 12 pasukan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Perancangan dan Pengurusan Estet, Hajah Mastura binti Haji Sulaiman.
Pasukan EEI ‘Baru Main-Main’ yang diketuai oleh Haji Shril Haji Matsawali muncul sebagai juara, manakala naib juara disandang oleh PMD ‘Lightning Striker’ yang diketuai Awang Ir Iskandar bin Haji Timbang. Tempat ketiga pula dimenangi oleh EE2 ‘No Pins Left Bowlers’ yang diketuai Pengiran Mohd Jeffery Pengiran Haji Kula.
Perlawanan Persahabatan Boling Piala JPPE merupakan acara tahunan jabatan tersebut dengan matlamat menggalakkan penyertaan dalam sukan boling 10-pin secara konsisten, selain meningkatkan kesihatan fizikal dan mental warga jabatan melalui aktiviti riadah.
Selain itu, ia juga bertujuan memperkukuhkan ikatan sosial sesama warga JPPE, menggalakkan persaingan sihat serta memupuk semangat bekerjasama dalam satu pasukan.
Aktiviti ini juga membuka ruang untuk mengenal pasti serta membangunkan bakat baharu yang berpotensi mewakili JPPE dan seterusnya Kementerian Pendidikan ke peringkat lebih tinggi, di samping meningkatkan disiplin, daya saing kompetitif dan budaya kecemerlangan dalam kalangan warga jabatan.


