Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Seramai 12 orang pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam pentadbiran dan perubatan bagi Musim Haji 1444 Hijrah / 2023 Masihi telah selamat sampai ke tanah air, kelmarin.
Hadir sama bagi menyambut kepulangan rombongan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Rombongan yang terdiri daripada empat orang pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Pentadbiran dan lapan orang pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Perubatan telah selamat pulang ke tanah air lewat malam tadi.
Diketuai oleh Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Pentadbiran, Haji Abdullah bin Haji Mohamad, rombongan berkenaan telah bertolak ke Arab Saudi pada 25 Mei lalu bagi membuat persiapan-persiapan awal bersama pihak-pihak berkenaan di sana mengenai pengurusan hal ehwal haji sebelum ketibaan jemaah haji Negara Brunei Darussalam ke Tanah Suci.
Doa Selamat dibacakan oleh Penolong Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Madinah Munawwarah, Haji Muhammad Izzuddin bin Haji Abdul Rani.