Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Setelah menempuh latihan asas kepolisan selama 10 bulan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), seramai 12 pegawai kadet penolong penguasa polis telah diraikan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan bagi Pegawai Kadet Penolong Penguasa Polis Skuad 1/2023 yang berlangsung di Padang Kawad Besar, Pusat Latihan PPDB, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di upacara berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin; pengarah dan timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan PPDB serta ahli-ahli keluarga pegawai-pegawai kadet yang diraikan.
Bagi 12 Pegawai Kadet Penolong Penguasa Polis Skuad 1/2023 yang terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita itu, majlis tamat latihan tersebut merupakan satu detik penuh bermakna bagi mereka kerana berkat kesabaran dan ketabahan dalam menempuh segala dugaan dalam latihan, mereka telah berjaya untuk menjadi pegawai polis yang bertauliah.
Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin telah memeriksa perbarisan kawalan kehormatan dan perbarisan pegawai-pegawai kadet serta menyempurnakan penyampaian hadiah kepada penerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik yang menerima Sijil Kepujian dan Pedang Kehormat iaitu Pegawai Kadet Ahmad Shawabi bin Haji Sout.
Setelah selesai, Yang Berhormat Pehin seterusnya dijemput beramah mesra dengan pegawai-pegawai kadet yang baharu ditauliahkan dan sesi bergambar bersama keluarga masing-masing yang diadakan di Dewan Bankuet Mes, Ibu Pejabat Polis, Gadong.
Upacara berkenaan merupakan acara kemuncak latihan kepolisan asas yang intensif dan mencabar, bagi meningkatkan dan memupuk keperibadian dan perwatakan sebagai seorang pemimpin yang berdisiplin, berpengetahuan dan berintegriti.