Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Delegasi Sekolah Rendah (SR) Pg Setia Jaya Pg Abdul Momin, Kuala Belait yang terdiri daripada 12 pelajar Tahun 5 serta tiga orang guru sekolah berkenaan berlepas bagi mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Chongzheng, Republik Singapura bermula hari ini hingga 22 Ogos.
Lawatan selama lima hari itu diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS), merupakan sebahagian daripada Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, bagi mengucapkan selamat belayar kepada delegasi ialah pemangku pengarah sekolah-sekolah, JSS, Kementerian Pendidikan, Haji Metusin bin Haji Jais.
Turut hadir di lapangan terbang ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari JSSA, wakil pentadbiran SR Pg Setia Jaya Pg Abdul Momin serta ibu bapa dan ahli keluarga para pelajar.

Program itu bermatlamat untuk mengeratkan hubungan dua hala antara sekolah-sekolah dari kedua-dua negara melalui perkongsian amalan terbaik dalam bidang akademik, pedagogi serta pembangunan pelajar secara menyeluruh.
Antara aktiviti yang telah dirancang termasuk sesi pembelajaran bilik darjah bersama, program pengalaman sekolah, inisiatif kepimpinan pelajar, lawatan pendidikan ke tapak bersejarah sekitar Singapura serta pengalaman budaya tempatan.
Lawatan berkenaan dijangka dapat memberi pendedahan yang bermakna kepada para pelajar mengenai sistem pendidikan antarabangsa dan memperkukuh semangat persahabatan, perpaduan serta nilai sejagat merentasi sempadan negara.
Delegasi juga berpeluang mengetengahkan kebudayaan Brunei Darussalam melalui persembahan dan interaksi bersama pelajar-pelajar di Singapura.


