Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Delegasi yang terdiri daripada 12 orang pelajar Tahun 10 dan diiringi oleh Timbalan Pengetua (Pentadbiran) serta dua orang guru Sekolah Menengah Rimba mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Peicai, Republik Singapura di bawah Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura bermula hari ini, 19 hingga 23 Mei.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar serta memberikan kata-kata nasihat kepada delegasi berkenaan ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan serta para ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.
Program Sekolah Berkembar di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura pada tahun ini menandakan kerjasama kali kedua antara Sekolah Menengah Rimba dan Sekolah Menengai Peicai.
Fasa pertama program berkenaan telah dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Zoom sebanyak lima sesi pada 2022.
Program berkenaan bertujuan untuk memberikan pendedahan yang bermakna kepada pelajar dan guru terhadap kepelbagaian budaya, adat resam dan perspektif. Melalui kerjasama akademik, program tersebut menggalakkan pertukaran kaedah pengajaran, amalan pendidikan dan perkongsian sumber sekali gus mendorong inovasi serta memperkukuh strategi untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan hasil pembelajaran.
Selain itu, inisiatif berkenaan turut membantu membina keyakinan diri, kebolehan berdikari dan keupayaan menyesuaikan diri dalam kalangan pelajar, di samping menggalakkan pemikiran kritis, daya kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah melalui aktiviti kolaboratif.