Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Delegasi Sekolah Rendah (SR) Penapar, Tutong yang terdiri daripada 12 orang pelajar Tahun 5 dan 6 serta tiga orang guru sekolah telah berkenaan mengadakan lawatan ke SR Fuchun, Republik Singapura selama lima hari bermula hari ini hingga 26 Julai.
Lawatan yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Sekolah-sekolah, merupakan sebahagian daripada Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada delegasi ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Profesional) Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Metusin bin Haji Jais.
Turut hadir di lapangan terbang ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Jabatan Sekolah-sekolah, wakil pentadbiran SR Penapar serta ibu bapa dan ahli keluarga para pelajar.
Program itu bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara sekolah-sekolah dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura melalui perkongsian amalan terbaik dalam bidang akademik, pedagogi serta pemba-ngunan pelajar secara menyeluruh.
Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang program berkenaan, termasuk sesi pembelajaran bersama di bilik darjah, program kepimpinan pelajar, pengalaman amali menerusi pelbagai pendekatan pembelajaran, lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan lestari serta pertukaran budaya antara kedua-dua buah sekolah.
Lawatan berkenaan dijangka dapat memberi pendedahan yang bermakna kepada para pelajar mengenai sistem pendidikan antarabangsa dan memperkukuh semangat persahabatan, perpaduan serta nilai sejagat merentasi sempadan negara.
Pihak delegasi juga berpeluang mengetengahkan kebudayaan Negara Brunei Darussalam melalui persembahan dan interaksi bersama pelajar-pelajar di Singapura.
