Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – 12 pemenang Peraduan Fotografi Junior bertemakan ‘Brunei, a Beautiful Realm’, anjuran Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB), dengan kerjasama Interhouse Company telah diraikan pada majlis penyampaian hadiah bertempat di At-Taqwa, Tingkat 3, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Hadiah di tempat pertama dimenangi oleh Wan Ahmad Haziq bin Wan Harris Zaky dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dan juga selaku pemenang ‘Best Photograph’.
Manakala Dayang Siti Nur’Arifah binti Arsahin dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) memenangi hadiah di tempat kedua dan pemenang tempat ketiga disandang oleh Awang Muhammad Firdaus bin Haji Hasnan dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Antara pemenang yang turut diraikan ialah Awang Mohd Haziq Naqiuddin bin Haji Azrini dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah; Dayang Damia Batrisyia binti Muhammad Wazien dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Dayang Nur Asiyah Hannani binti Azrin dari Pusat Tingkatan Enam Belait; Jolie Ling Xin Jie dari Pusat Tingkatan Enam Belait; Chin Yu Chu dari JIS; Awang Muhammad Nafeez bin Haji Arbaie dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan; dan Huong Li Hon dari Pusat Tingkatan Enam Belait.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim; pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, wakil-wakil Interhouse Company, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, para peserta dan tetamu jemputan.
Peraduan berkenaan bertujuan memupuk dan mempamerkan kemahiran fotografi golongan belia negara, terbuka kepada pelajar-pelajar berumur dari 12 hingga 18 tahun.
Menerusi tema yang ditetapkan, para peserta digalakkan untuk menggunakan kreativiti dan bakat fotografi mereka menangkap keindahan alam semula jadi di sekitar Negara Brunei Darussalam yang menakjubkan, memfokuskan pada landskap yang menawan, flora dan fauna yang menarik, dan tempat-tempat unik serta alam semula jadi.
