BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA), baru-baru ini, telah mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan melukis dan mewarna yang diadakan bersempena Hari Insurans dan Takaful 2021 persatuan berkenaan.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi BITA, Klaus Tomalla pada majlis yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BITA, pertandingan bertemakan ‘Kehidupan dalam Normal Baharu’ itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kecil Literasi dan Kesedaran Kewangan (FLASC) dan dibukakan kepada orang awam yang menetap di Brunei Darussalam dalam tiga kategori usia.
Pertandingan yang berjalan dari 1 Februari hingga 31 Mac lalu itu telah menyaksikan 35 penyertaan dengan penghakiman dijalankan pada 25 Mei lalu di mana empat pemenang dari setiap kategori dengan 12 pemenang keseluruhan telah dipilih. Setiap pemenang menerima sijil kemenangan dan hadiah wang tunai.
Karya para pemenang kini dipamerkan di atrium Kementerian Kewangan dan Ekonomi sehingga 5 Julai depan. Di samping itu, karya-karya pemenang juga akan ditampilkan dalam kalender 2022 BITA.