Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Seramai 12 penuntut yang terdiri daripada 6 orang penuntut dari Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) dan 6 orang penuntut dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), telah lulus dalam ujian kenaikan tali pinggang Hapkido yang diadakan di Gimnasium Maktab SOAS, kelmarin.
Ujian tersebut diketuai oleh Master Pow Ying Khong dari Persatuan Hapkido Brunei selaku pemeriksa utama.

Sepanjang sesi ujian, para penuntut telah menunjukkan disiplin, semangat juang, dan kemahiran teknik yang baik dalam melaksanakan gerakan asas, serangan, pertahanan diri, dan teknik jatuhan mengikut tahap tali pinggang masing-masing.
Hasil daripada penilaian, semua penuntut telah lulus dengan jayanya dan layak menerima kenaikan tali pinggang masing-masing.
Pencapaian ini juga mencerminkan usaha gigih para penuntut dalam latihan serta sokongan penuh daripada tenaga pengajar dan pihak penganjur.
Dengan kejayaan ini, diharapkan para penuntut akan terus meningkatkan kemahiran Hapkido mereka serta menjadi contoh dalam mempraktikkan nilai disiplin, keberanian, dan integriti dalam kehidupan seharian.



