Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 peserta mara ke peringkat akhir

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Seramai 12 peserta Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi masing-masing terdiri daripada enam qari dan qariah diumumkan mara ke peringkat akhir pada majlis pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Musabaqah yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 11 hingga 13 November itu telah memperdengarkan bacaan daripada 57 peserta, iaitu 46 qari dan 11 qariah.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada peserta musabaqah ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Penganjuran musabaqah tersebut dihasrat dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka.

    Di samping itu, ia juga diharap dapat membuka minda dan minat masyarakat untuk berjinak-jinak dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para peserta pada majlis tersebut. – GAMBAR RAFI ROSLI
    GAMBAR RAFI ROSLI
    GAMBAR RAFI ROSLI
    GAMBAR RAFI ROSLI
    GAMBAR RAFI ROSLI

    Turut hadir di majlis itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; setiausaha tetap; raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; pemangku-pemangku timbalan setiausaha tetap; pengerusi-pengerusi bersama; ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan KHEU.

    Terdahulu majlis penyampaian kepada peserta, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Daerah Belait, Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminuddin.

    Pengumuman keputusan musabaqah dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, KHEU, Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku pengerusi jemaah hakim musabaqah tersebut.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh oleh Kumpulan Tausyeh Beliawanis Masjid dan persembahan membaca Al-Quran oleh wakil peserta yang terpilih ke peringkat akhir.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Abdul Qayyum.

    Musabaqah berkenaan merupakan projek tahunan KHEU dan diadakan secara berperingkat-peringkat, iaitu melalui peringkat saringan kebangsaan.

    Ia merupakan laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke peringkat akhir kebangsaan yang akan diadakan kemudian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda