12 peserta musabaqah terpilih ke peringkat akhir

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seramai enam qari dan enam qariah daripada 41 orang peserta yang bertanding di peringkat separuh akhir kebangsaan terpilih dan akan bertanding di Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442 Hijrah/2021 Masehi.

Qari dan qariah berkenaan akan bertanding bersama-sama dengan johan-johan menunggu di Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masehi iaitu johan qari, Haji Awang Mohammad bin Ali dan johan qariah, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki.

Perkara tersebut diumumkan oleh pengerusi jemaah hakim, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit pada Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Cenderamata Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1442 Hijrah/2021 Masehi yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan cenderamata musabaqah membaca Al-Quran dan hadiah kepada pemenang Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah /2020 Masehi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Peserta yang akan menyertai peringkat akhir musabaqah selain johan menunggu bagi qari ialah Awang Mohd Zul-Hafiz bin Awang Tengah, Haji Muhd Fikri bin Haji Awang Metussin, Haji Nasrul Fakhir bin Haji Yahya, Haji Hazwan bin Haji Salim dan Awang Abdul Mu’in bin Haji Abdul Hamid.

Manakala peserta qariah selain johan menunggu ialah Dayang Norfaezah binti Haji Emran, Dayang Siti Zahrina binti Abdul Wahab, Dayangku Fauziah binti Pengiran Haji Jofri, Hajah Norhapidzah binti Haji Hassan dan Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya.

Musabaqah dihasrat dapat memajukan dan mengembangkan bidang Al-Quran sekali gus mendorong masyarakat ke arah celik Al-Quran sebagai wadah dan zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1442H/2021M berlangsung selama dua hari berturut-turut di Dewan Melor, KHEU.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menyampaikan cenderamata dan hadiah kepada salah seorang peserta musabaqah Membaca Al Quran dan Musabaqah Menghafaz Al-Quran.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama jemputan yang hadir pada majlis itu.