Wednesday, September 11, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 peserta Sultan’s Scholar ke Singapura

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Seramai 12 orang peserta yang terdiri daripada tujuh penuntut dan lima alumni kelmarin telah berangkat mengikuti Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 di Republik Singapura.

    Rombongan peserta turut diiringi oleh dua pegawai daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Program Perkembangan Sultan’s Scholars 2024 Fasa Republik Singapura tersebut dilaksanakan dengan kerjasama daripada Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Negara Brunei Darussalam dan Civil Service College, Republik Singapura.

    Program yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga Jumaat itu bertujuan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada para peserta untuk mengetahui pendekatan Republik Singapura terhadap tiga elemen utama yang akan difokuskan melalui kursus, bengkel, lawatan dan dialog yang akan diadakan iaitu pembuatan dasar, kepimpinan dan komunikasi dan pembangunan mampan.

    Selain itu, program berkenaan juga memberikan peluang kepada para peserta untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan dengan melibatkan sebuah pusat kebajikan tempatan. Peserta akan berkongsi pengalaman dan pandangan sepanjang program yang telah diikuti pada majlis penutup nanti.

    Sebahagian dari peserta program sedang mendengar taklimat dalam program berkenaan.

    Pada tahun ini, Program Perkembangan Sultan’s Scholar berkenaan mengandungi dua komponen, iaitu Fasa Negara Brunei Darussalam yang telah berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos yang lalu dan juga Fasa Republik Singapura yang berlangsung minggu ini.

    Program ini melibatkan sesi taklimat dan penerangan oleh agensi-agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memberikan kefahaman kepada para peserta mengenai tugas dan peranan agensi-agensi berkenaan serta isu dan cabaran yang berkaitan.

    Agensi-agensi yang terlibat adalah seperti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri; Pejabat Wawasan Brunei, Jabatan Perdana Menteri; Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Majlis Belia Brunei.

    Menurut kenyataan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan inisiatif Yayasan dalam membangunkan kapasiti tenaga manusia berilmu pengetahuan yang akan berperanan terhadap kemajuan dan pembangunan negara selaras dengan Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran ke arah kehidupan rakyat berkualiti tinggi. 

    Gambar ramai sebelum berlepas ke Singapura. – GAMBAR SERAHAN YSHHB

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda