Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Para pemenang Pertandingan Inovasi yang diadakan bersempena Majlis Hari Terbuka Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) 2024, baru-baru ini, telah menerima hadiah pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Dewan Al-Rayyan, Kampus Sinaut, UNISSA, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Rektor Penyelidikan, Antarabangsa dan Perkhidmatan, UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama UNISSA, tenaga akademik, pegawai, kakitangan, mahasiswa dan mahasiswi UNISSA termasuk tetamu jemputan terdiri daripada pakar-pakar dari Universiti Teknologi Malaysia, (UTM).
Seramai 12 orang pemenang telah menerima pingat berbentuk medal emas untuk juara, perak bagi naib juara dan gangsa di tempat ketiga bagi setiap pertandingan iaitu Pertandingan Poster, Pertandingan Video, Pertandingan Projek Inovasi dan Pertandingan Pitching.
Penerima pingat emas bagi Pertandingan Poster adalah The Use of Mobile and VR Technology in Online Shopping as Business Marketing Tool in Brunei Darussalam ciptaan Awang Ma’sum bin Haji Isa; Pertandingan Video ialah Evolution of Technology ciptaan Awang Muhammad Syazman Shah bin Jaludin; penerima pingat emas NC bagi Pertandingan Projek Inovasi ialah Teknologi Kitar Semula Minyak Masak Berasaskan Maqasid Syariah untuk Mengurangkan Kecemaran Alam Sekitar dan Meningkatkan Ekonomi ciptaan Dindin Hamam Sidik; dan Pertandingan Pitching ialah Interactive Storytelling Game using Visual Novel for Muslim Children oleh Awang Iman Hafiz bin Aziz.
Pemenang pingat perak pula adalah Enhancing Efficiency and Accuracy in Student Assessment for Brunei Higher Education Institutions through Face Recognition Technology (Pertandingan Poster) ciptaan Dayang Irdina Bazilah binti Irwan; Pembangunan Teknologi Dron untuk Kegunaan Industri Tempatan di Negara Brunei Darussalam (Pertandingan Video) hasil ciptaan Ampuan Mohamad Zaki bin Ampuan Ahmad dan Extraction Technology on Date Palm (Pertandingan Projek Inovasi) ciptaan Awang Muhammad Khairi bin Haji Muhammad Khairol Alaika dan Inovasi Teknologi Percetakan 3D pada Seni Kaligrafi Islam dalam Industri Seni Islam Negara Brunei Darussalam (Pertandingan Pitching) oleh Awang Hamizan bin Dahlan.
Manakala itu, pemenang pingat gangsa adalah Peranan Neurosains dalam Peningkatan Teknik Hafazan Al-Quran (Pertandingan Poster) ciptaan Dayang Nurbazilah Sakynah binti Tahir; Travel Alone Augemented Reality (Pertandingan Video) ciptaan Awang Muhammad Syahmi bin Soffriana; Digital Mutawif App for Bruneian DIY Umrah Pilgrims (Pertandingan Projek Inovasi) ciptaan Awang Muhammad Hakimi @ Hafiz bin Abdul Wahib dan Smart Maq’rah Al-Quran (Pertandingan Pitching) oleh Dayangku Norhazatulimah binti Pengiran Haji Abdul Salam.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada penceramah bengkel dan juri-juri dari luar negara.
Pertandingan Inovasi berkenaan dianjurkan oleh Fakulti Teknologi Islam, UNISSA, Kementerian Pendidikan dan disokong oleh industri-industri tempatan dan pakar-pakar dari UTM.
Pertandingan Hari Inovasi yang dibukakan kepada mahasiswa dan mahasiswi UNISSA itu telah menerima sebanyak 86 penyertaan.
Antara lain tujuan pertandingan adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang menjana daya inovatif dan dapat meningkatkan kreativiti minda.
Prototaip yang dihasilkan dapat membuka ruang kepada pelajar meneroka peluang komersial seterusnya memulakan langkah startup dan spin-off company.
Ini akan membantu mereka dalam membina kerjaya usahawan teknologi dan meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan.