Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Sebanyak 12 buah premis perniagaan telah didapati tidak mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan dan dikenakan denda kompaun yang keseluruhannya berjumlah $3,200.
Antara kesalahan yang didapati termasuk pengendali dan penyedia makanan serta pekerja-pekerja tukang gunting rambut dan salon kecantikan dan kesihatan tidak memakai penutup hidung dan mulut, tiada penjarakan sosial dan tidak menggunakan kod QR BruHealth.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, hari ini, kesalahan itu didapati semasa beberapa siri Operasi Merati yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dari 5 Oktober hingga 11 Oktober di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah.
Semasa operasi itu, sebanyak 132 buah premis perniagaan telah diperiksa di Ong Sum Ping, Serusop, Gadong, Kiulap, Batu Satu, Jerudong, Berakas dan Masjid Kampung Sungai Besar di Daerah Brunei dan Muara; Bangunan Komersial Pandan 7, Kampung Pandan B, Bangunan Jaisa Pandan 5, Bangunan Komersial Pekan Seria dan Masjid Al-Masyar, Kampung Sungai Mau di Daerah Belait; Kompleks Berjaya, Kampung Petani di Daerah Tutong; serta Kampung Bokok dan Masjid Kampung Bokok di Daerah Temburong.
Kenyataan menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan sekali lagi mengingatkan orang ramai, jemaah masjid, para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya, terutama dalam memakai penutup hidung dan mulut.
Sebarang aduan atau laporan mengenai premis-premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghantar e-mel kepada health.enforcement@moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.