Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Sebanyak 12 syarikat telah dilantik oleh Kementerian kesihatan untuk membuka Pusat Pensijilan ART bagi individu yang memerlukan keputusan ujian Antigen Rapid Test (ART) secara bersijil.
“Pusat-pusat yang diluluskan itu ialah Guardian Health and Beauty (B) Sdn Bhd; Vitaliv Health and Wellness Clinic; Dr Prema Clinic; Crystal Image Enterprise; M Clinic; ER Clinic; Chua & Arif Specialist Clinic; Dr Amir Clinic; UNI Clinic; Lee Clinic; Kosi Clinical Lab Sdn Bhd; dan Panaga Health Centre,” umum Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato, 12 Pusat Pensijilan ART tersebut akan mula beroperasi mulai 1 Disember ini.
“Bagi memasuki premis-premis di Negara Brunei Darussalam, tempoh sah bagi keputusan ujian ART ialah dua hari iaitu sebagaimana yang akan dipaparkan pada sijil yang dikeluarkan,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, bagi tujuan masuk ke negara-negara asing, tempoh sah sijil adalah tertakluk kepada syarat-syarat masuk ke negara berkenaan.
Penggunaan ART adalah digalakkan di pejabat-pejabat kerajaan, swasta dan orang-orang persendirian sebagai tatacara surveilan atau saringan bagi jangkitan COVID-19 dan juga salah satu persiapan Negara Brunei Darussalam melangkah ke Fasa Endemik nanti dengan memperluaskan penggunaan ART di kalangan masyarakat di negara ini.
Selain itu, menurut Yang Berhormat Dato, terdapat juga keperluan bagi sebilangan orang untuk mempunyai keputusan ART yang disahkan seperti untuk memasuki premis-premis tertentu dan sebagai syarat memasuki beberapa buah negara asing. Maklumat lanjut mengenai pusat-pusat yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan akan dimuat naik di dalam laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn.
