Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Seramai 12 peserta qari dan qariah bakal bertanding di Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah/ 2023 Masihi yang akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 4 hingga 6 Julai bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Membawa tema Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian dengan Petunjuk Al-Quran, peserta-peserta qari yang akan bertanding di pertandingan tersebut ialah Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya, Awang Ahmad Zulwaqar bin Suhaili, Pengiran Haji Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri, Awang Ahmad Syuja’ie bin Begawan Mudim Haji Matassim dan Awang Ashizal bin Zainal Abidin.
Manakala para peserta qariah yang akan bertanding ialah Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri, Dayang Hajah Nurfaezah binti Haji Emran, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, Dayangku Nurul Sakinah Adawiyah binti Pengiran Ainolazahar, Dr Hajah Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman dan Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat.
Para hadirin dinasihatkan untuk melakukan ujian ART dan memuat naik keputusan ART ke aplikasi BruHealth pada hari menghadiri majlis tersebut.
Orang ramai dialu-alukan datang beramai-ramai ke majlis musabaqah itu, untuk sama-sama mendapatkan syafaat Al-Quran dan pengajaranNya.
