Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 sertai program pertukaran belia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Bagi membantu mengukuhkan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea Selatan serta meningkatkan kesefahaman dan kepercayaan kedua-dua belah pihak, rombongan seramai 12 orang belia kelmarin telah meninggalkan negara bagi menyertai Program Pertukaran Belia Korea-Brunei 2023 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan.

    Rombongan yang terdiri daripada belia dari institusi pengajian tinggi, pusat tingkatan enam dan pergerakan belia di Brunei itu dihantar untuk menyertai program berkenaan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di mana program akan berjalan selama 10 hari bermula hari ini hingga 29 Jun.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan itu ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, pegawai dan kakitangan dari JBS serta ahli keluarga rombongan berkenaan.

    Rombongan belia berkenaan diketuai oleh Pemangku Pegawai Belia dan Sukan, Awang Mohamad Ali Noh bin Haji Masri di mana Program Pertukaran Belia Korea-Brunei 2023 kembali diadakan secara fizikal selepas tiga tahun ia dilaksanakan secara dalam talian berikutan pandemik COVID yang melanda seluruh dunia.

    Sepanjang program berkenaan, rombongan akan menghadiri sesi orientasi, membuat lawatan ke HiKR Ground, Menara Seoul Sky, Muzium Nasional Sejarah Kontemporari Korea serta membuat kunjungan hormat ke Pejabat Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Korea Selatan dan Kementerian Keluarga dan Kesaksamaan Jantina, Korea.

    Selain itu, rombongan juga akan mengunjungi Wilayah Wonju, Bonghwa dan Suwon di mana mereka akan membuat lawatan ke Arboretum Negara Baekdudaegan, Makmal Masa Depan Seoul, Perkampungan Bukchoon Hanok serta kunjungan ke Pusat Masa Depan Belia Negara, Pusat ASEAN-Korea dan Pusat Belia Pintar Seacho.

    Semasa lawatan ke pusat-pusat belia berkenaan, para peserta rombongan akan berinteraksi dan melakukan kegiatan-kegiatan bersama para belia Korea serta membuat pembentangan mengenai Negara Brunei Darussalam dan turut membuat persembahan kebudayaan dan menyertai aktiviti riadah bersama mereka.

    Menerusi usaha berkenaan, rombongan belia diharap dapat memperoleh faedah daripadanya seperti persefahaman kebudayaan, ekonomi, sosial dan politik. Di samping itu, kedua-dua pihak dapat meraih ilmu pengetahuan, mempelajari budaya serta membawa pulang idea dan amalan terbaik pelaksanaan program belia di pusat-pusat belia di Korea untuk digunakan atau dilaksanakan di pusat-pusat belia di Negara Brunei Darussalam.

    Dayang Umi Kalthum bersama rombongan belia di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Belia dan Sukan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda