Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 syarikat hasrat tanam padi komersial di Sarawak

    KUCHING, 27 MEI – Sebanyak 12 syarikat swasta menunjukkan minat untuk menjalankan projek penanaman padi secara komersial di Sarawak, yang turut menjadi strategi kerajaan negeri mencapai sasaran menjadi pengeksport beras menjelang 2030.

    Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Serantau Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata semua projek ini akan dijalankan ke atas tanah negeri, menggunakan model Reka Bentuk, Bina, Kendali dan Pindah (DBOT).

    “Ini adalah sebahagian daripada pelan kami bagi memajukan serta mengkomersialkan pertanian padi dengan melibatkan sektor awam dan swasta,” katanya ketika penggulungan untuk kementeriannya di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

    Model DBOT itu menggabungkan reka bentuk serta pembinaan infrastruktur yang diperlukan, penggunaan teknologi moden, jentera untuk pertanian dan akhirnya, pemindahan pengurusan kepada pihak berkepentingan tempatan bagi kemapanan jangka panjang.

    Tambahnya, “Sekarang ini, Setiausaha Kewangan Negeri menyediakan garis panduan DBOT dan prosedur operasi standard untuk memastikan rangka kerja yang jelas ke atas projek berkenaan.”

    Sementara itu, penanaman padi secara besar-besaran di tanah hak adat asli (NCR) akan dilaksanakan melalui penyertaan sektor swasta, sama ada melalui model pajakan atau usaha sama.

    Dr Rundi berkata perkara itu memerlukan penglibatan dan persetujuan dari pemilik tanah sebagai penglibatan aktif selain sokongan berterusan dari mereka, serta pihak berkepentingan lain adalah penting dalam mencapai kecukupan diri di Sarawak. – Bernama

    Gambar fail Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom semasa berada di Dewan Undangan Negeri, pada 16 Februari 2022. -Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda