KUALA LUMPUR, 6 OKT – Sebanyak 12 syarikat Malaysia bakal mempamerkan pelbagai rangkaian inovasi getah hijau atau mesra alam serta plastik termaju bagi industri plastik serta getah di K 2025 – pameran perdagangan nombor satu dunia bagi kedua-dua bidang berkenaan.
Acara yang akan berlangsung pada 8 hingga 15 Oktober di Dusseldorf, Jerman, juga bakal menghimpunkan lebih daripada 3,000 pempamer dan lebih 225,000 pengunjung dagangan dari serata dunia.
Dalam kenyataannya hari ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata penyertaan Malaysia itu turut membuktikan penegasan komitmen negara dalam melonjakkan aspek kelestarian untuk industri plastik global.
“Kehadiran kita di K 2025 menunjukkan kekuatan Malaysia dalam aspek inovasi, kualiti dan tanggungjawab.
“Menerusi penerapan kandungan kitar semula, resin lestari dan amalan ekonomi kitaran, syarikat-syarikat kita berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menyumbang kepada penyelesaian industri yang lebih hijau,” kata Pengarah Bahagian Minyak dan Gas,
Kimia dan Tenaga MATRADE, Idzham Abdul Hamid. – Bernama


