Saturday, December 28, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 tahun kahwin, rumah tangga kini goyah

    Saya tidak pernah menyangka bahawa perkahwinan yang dibina dengan cinta selama 12 tahun boleh digoncang oleh campur tangan pihak ketiga.

    Segalanya bermula apabila seorang rakan lama suami tiba-tiba muncul kembali dalam hidup kami.

    Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa kerana hubungan mereka kelihatan sekadar persahabatan biasa.

    Namun, semakin lama, semakin kerap suami saya keluar tanpa memberitahu ke mana arah tujuannya.

    Saya cuba berbincang dengannya, tetapi dia hanya berkata, “Awak terlalu banyak berfikir. Dia cuma kawan lama.”

    Foto Canva

    Namun, naluri saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya akhirnya menemui mesej-mesej yang mencurigakan dalam telefonnya.

    Ketika saya cuba mendapatkan penjelasan, suami saya menjadi marah dan mengatakan saya tidak mempercayainya.

    Apa yang lebih menyedihkan, keadaan ini turut memberi kesan kepada anak-anak kami. Mereka mula menyedari bahawa hubungan kami tidak seperti dahulu.

    Saya berasa kehilangan arah. Adakah saya patut terus bertahan demi keluarga, atau sudah tiba masanya untuk saya memperjuangkan kebahagiaan saya sendiri?

    Kepada pembaca yang pernah menghadapi ujian seperti ini, bagaimana awda menanganinya?

    Adakah hubungan itu dapat diselamatkan, atau adakah awda memilih untuk melepaskan?

    Saya sangat berharap dapat mendengar pandangan dan nasihat awda kerana situasi ini benar-benar meruntun jiwa saya.

    Kaira

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih kepada Kaira. Adalah amat mendukacitakan apabila perkahwinan yang terbina sekian lama tiba-tiba diganggu oleh pihak ketiga seperti yang Kaira ceritakan.

    Perasaan curiga dan rasa kehilangan arah adalah reaksi yang normal apabila berlaku ketidakjujuran dalam perkahwinan. Pertama sekali, Kaira perlu memberi ruang untuk diri sendiri untuk berfikir dengan tenang dan jangan bertindak terburu-buru. Berdasarkan bukti yang awda temui, mintalah penjelasan secara baik dan jujur daripada suami. Kongsikan perasaan awda secara jujur bahawa awda berhak merasa curiga, cemburu dan kecewa dengan tindakannya.

    Tanyakan pada diri Kaira apa yang diinginkan dalam perkahwinan ini, dan adakah suami juga mempunyai keinginan yang sama. Kejujuran dalam perbualan yang baik dapat mengungkapkan banyak perkara yang tersembunyi. Elakkan berbincang dalam keadaan marah atau terlampau mengikut perasaan.

    Ingatkan kepada suami bahawa dirinya sudah berkeluarga dan sudah cukup bahagia dengan rumah tangga yang telah terbina sekian lama bersama Kaira dan anak-anak.

    Perbuatannya untuk bergaul dengan rakan lama seperti itu haruslah beliau tinggalkan dan jauhi demi menjaga keharmonian rumah tangga yang ada sekarang. Status dirinya sebagai suami, ayah dan ketua keluarga harus dijaga.

    Jika suami tidak berubah atau jika situasi ini terus memberi kesan negatif kepada emosi dan kesejahteraan, mungkin sudah tiba masanya untuk mengambil langkah yang lebih berani dengan mengutamakan kesejahteraan diri dan anak-anak.

    Sama ada bertahan atau melepaskan, pastikan keputusan itu adalah yang terbaik untuk kebahagiaan jangka panjang Kaira dan anak-anak. Dapatkan nasihat daripada pihak-pihak yang boleh dipercayai seperti rakan terdekat atau keluarga dan juga bantuan profesional seperti kaunseling keluarga sebelum membuat keputusan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda