MANILA, Filipina, 31 Mac – Tentera Filipina bertempur dengan pemberontak-pemberontak komunis di bandar timur kelmarin yang mengakibatkan 10 orang gerila dan dua askar maut, menurut seorang pegawai tentera hari ini.
Kejadian keganasan berkenaan tiba hanya beberapa hari sebelum rundingan damai diteruskan yang bermatlamat menghentikan salah satu pemberontakan terlama di Asia.
Mejar Jeneral Rhoderick Parayno, komander divisyen tentera berkata pihak tentera tidak membawa pulang mayat-mayat pemberontak namun menyaksikan 10 orang dalam kalangan 30 gerila yang mereka hadapi kelmarin di bandar General Nakar timur ibu negeri Manila. Dua askar juga maut dan dua lagi cedera.

Di Manila, hampir 100 ahli dan penyokong Parti Komunis bawah tanah Filipina, kebanyakannya memakai baju merah dan kain kepala merah, mengadakan perarakan hari ini berdekatan istana presiden dalam menunjukkan kuasa sebelum rundingan-rundingan damai diteruskan kembali bersama kerajaan.
Para peserta perarakan membawa kain-kain rentang merah, termasuk satu kain rentang yang menandakan logo tukul dan sabit parti itu. Mereka menggesa orang awam untuk menyertai revolusi dan mereka melaungkan “hidup New People Army,” pasukan tentera parti berkenaan. – AP