GUAYAQUIL, ECUADOR, 7 MAC – Kumpulan pengedaran dadah Ecuador bertempur sesama sendiri di bandar pelabuhan ganas Guayaquil, mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, menurut pegawai kelmarin.
Jumlah korban itu dilaporkan oleh ketua polis tempatan, Herbie Guamani, sementara sumber polis menyatakan bahawa tembak-menembak tersebut melibatkan puak bertentangan dalam kumpulan Los Tigerones, salah satu geng paling berkuasa di negara yang dahulunya aman.
Ecuador menempatkan kira-kira 20 kumpulan jenayah yang terlibat dalam pengedaran dadah, penculikan dan pemerasan, yang telah menimbulkan kekacauan di negara yang mempunyai penduduk seramai 18 juta orang ini, yang terhimpit antara dua pengeluar kokain terbesar dunia, Peru dan Colombia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Ecuador telah dilanda gelombang keganasan akibat penyebaran pantas kartel antarabangsa yang menggunakan pelabuhannya, seperti Guayaquil, untuk menghantar kokain ke Amerika Syarikat dan Eropah.
Sebagai contoh, kadar pembunuhan meningkat daripada enam kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018 kepada rekod tertinggi 47 kes pada 2023.
Pakar mengatakan bahawa kumpulan-kumpulan jenayah ini terus berkembang dan menjadi lebih kuat hasil keuntungan daripada kegiatan jenayah mereka.
Guayaquil adalah ibu negeri Guayas, salah satu daripada tujuh wilayah yang berada dalam keadaan darurat sejak dua bulan lalu ketika kerajaan berusaha memerangi kumpulan jenayah ini.
Bulan lalu, Presiden Daniel Noboa berkata beliau akan meminta negara-negara sekutu yang tidak disebutkan namanya untuk menghantar pasukan khas bagi membantunya dalam perjuangan ini.
Keganasan ini masih berlanjutan ketika Ecuador bersiap sedia menghadapi pusingan kedua pilihan raya pada 13 April, di mana Noboa akan berdepan calon kiri, Luisa Gonzalez.- AFP
