Tuesday, December 3, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 terima sumbangan Unity Charity

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Persatuan Unity Charity telah menyerahkan sumbangan berjumlah $12,000 kepada lapan buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan empat buah sekolah di negara ini pada majlis sumbangan tahunan yang diadakan di Hotel Mulia, hari ini.
     
    Sumbangan telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Unity Charity, Jake Goh Kiat Hing kepada persatuan dan sekolah.
     
    Terdahulu, Jake Goh Kiat Hing semasa menyampaikan ucapannya menyatakan rasa terima kasih kepada semua rakan kongsi atas keberhasilan sokongan rakan kongsi NGO, kerjasama sekolah dan dedikasi pihak media dalam membantu menyebarkan mesej mereka.
     
    “Setiap lompatan singa semasa persembahan kami mencerminkan kekuatan komuniti kami, bekerjasama untuk merapatkan jurang dan mencipta peluang bagi mereka yang memerlukannya,” tambahnya.
     
    Turut hadir menyaksikan acara itu ialah ahli masyarakat, wakil daripada NGO dan wakil sekolah berkenaan bagi meraikan usaha kolektif untuk menyokong pembangunan kebajikan awam dan masyarakat.
     
    Penerima sumbangan termasuk Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), SMARTER Brunei, Tabung Anak-anak Yatim di bawah JAPEM, Pertubuhan Kanak-kanak Cacat (KACA), Persatuan Orang-orang Berkerusi Roda dan Cacat Anggota (PAPDA), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNAB) dan Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP). 
     
    Selain itu, sekolah yang menerima sumbangan ialah Sekolah Menengah Chung Hwa di ibu negara, Sekolah Menengah Chung Hua di Kuala Belait, Sekolah Menengah Chung Ching di Seria dan Sekolah St George.
     
    Sumbangan itu dijana melalui persembahan tarian singa tahunan persatuan itu semasa Tahun Baharu Cina, tradisi bersemangat yang bukan sahaja meraikan warisan budaya tetapi juga mengumpul dana penting untuk menyokong mereka yang memerlukan. 
     
    Dana tersebut digunakan untuk membantu keluarga kurang berkemampuan, sekolah dan NGO dalam usaha berterusan untuk memperbaiki kehidupan individu yang terdedah dalam komuniti.
    Presiden Persatuan Unity Charity bergambar ramai bersama para penerima sumbangan. – GAMBAR SERAHAN PERSATUAN UNITY CHARITY
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda