LAHORE, PAKISTAN, 20 OGOS – Seorang imam adalah antara 12 orang yang disiasat kerana menggunakan pembesar suara masjid untuk memprotes terhadap penghinaan oleh penganut Kristian yang menyebabkan terjadinya perusuhan di Pakistan awal minggu ini, kata pegawai kanan polis.
Lebih 80 buah rumah Kristian dan 19 buah gereja telah dirosakkan apabila ratusan orang mengamuk di kawasan kejiranan Kristian di Jaranwala di wilayah Punjab pada Rabu.
Laporan mengenai Al-Quran dicemari telah disiarkan dari masjid, dengan seorang imam memberitahu pengikutnya untuk kekal mempertahankan Islam.
“Imam itu sepatutnya faham bahawa apabila awda mengumpulkan orang dalam persekitaran yang begitu tegang… dalam sebuah negara di mana penduduk sudah sangat sensitif tentang (penghinaan agama), itu seperti menambah minyak kepada api,” kata Ketua Polis Punjab, Usman Anwar kepada AFP semasa temu bual di Lahore pada Jumaat.
“Beliau tidak mengatakan pergi dan bakar rumah mereka. Tetapi apabila perusuh sudah berkumpul, sangat sukar untuk dikawal.”
Beliau berkata imam itu adalah salah seorang daripada 12 orang yang disiasat kerana menggunakan pembesar suara masjid, manakala lebih 125 orang telah ditahan dikaitkan dengan vandalisme seterusnya, menerusi penggunaan teknologi pengecaman muka, pengesanan keselamatan melalui telefon bimbit dan data yang dikumpulkan daripada media sosial.
Pada tahap kemuncak, lebih daripada 5,000 orang telah menyerbu kawasan perumahan itu dari daerah-daerah lain dengan kumpulan perusuh kecil merebak ke lorong-lorong sempit di mana mereka menggeledah rumah.
Ratusan penduduk Kristian yang melarikan diri telah mengkritik polis kerana gagal melindungi harta benda mereka, sesetengahnya mendapat perlindungan daripada jiran Muslim mereka. – AFP