Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Seramai 12 warga Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima Pingat Kerja Lama (PKL) pada majlis yang telah diadakan di Dewan Digadong, Bangunan KKBS, hari ini.
Majlis adalah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 bagi 2022.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian pingat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis adalah sebagai tanda penghargaan bagi warga kementerian atas jasa bakti kepada raja, kerajaan dan dalam melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan.
Dengan penyampaian pingat-pingat tersebut, ia akan dapat menyuntik lagi semangat bagi warga yang lain untuk turut meningkatkan mutu kerja dengan lebih gigih dan cemerlang.


