Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    120 ekspatriat Bangladesh dakwa ditipu

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Ekspatriat Bangladesh yang bekerja di Negara Brunei Darussalam telah mengemukakan aduan di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh baru-baru ini menyatakan bahawa seramai 120 pekerja setakat ini telah menjadi mangsa penipuan salah sebuah syarikat penghantaran wang terkemuka di negara ini.

    Menurut Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ketika dihubungi berkata, pekerja-pekerja tersebut telah menghantar wang menghantar sebanyak $720 ribu ke Bangladesh menggunakan khidmat syarikat penghantaran wang berkenaan melalui salah seorang ejen perkhidmatan pemindahan wang global bermula dari 31 Julai hingga 27 Ogos lalu.

    Menurutnya, seorang pekerja warga Filipina yang bertugas sebagai ejen di syarikat tersebut didakwa telah menggelapkan wang tanpa mendepositkan wang berkenaan dan tiada maklumat mengenai keberadaannya sejak 28 Ogos.

    Pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh telah menjalankan siasatan dan telah mengadakan perbincangan dengan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengenai isu berkenaan.

    Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari syarikat terbabit, suspek telah pulang ke Filipina dan proses undang-undang sedang berjalan. Namun, belum ada jaminan dari syarikat terbabit sama ada mangsa-mangsa penipuan akan mendapatkan wang semula atau tidak.

    Terdapat kira-kira 20,000 warga Bangladesh berada di negara ini dan menyumbang kepada rizab pertukaran asing negara dengan menghantar wang hasil usaha mereka pulang ke negara mereka. Ekspatriat Bangladesh telah menghantar kiriman wang sebanyak AS$74.2 juta ke tanah air pada tahun kewangan 2023-24. Kebiasaannya mereka menghantar wang melalui bank atau syarikat kiriman wang berlesen, menurut data Bank Bangladesh.

    Sekiranya tiada penyelesaian berkenaan isu ini, ekspatriat Bangladesh mungkin kehilangan minat untuk menghantar wang melalui saluran rasmi, tambahnya.

    Ekspatriat telah mengunjungi pejabat Suruhanjaya Tinggi Bangladesh setiap hari dengan harapan untuk mendapatkan penyelesaian.

    Sementara itu, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah mengeluarkan kenyataan menyatakan dengan kuasa di bawah Bab 54 Perintah BDCB, 2010, telah mengarahkan syarikat terbabit untuk menghentikan penerimaan wang daripada orang ramai bagi tujuan kiriman wang bermula 4 Oktober.

    Menurut kenyataan itu, syarikat terbabit telah gagal mematuhi beberapa syarat lesen perniagaan kiriman wang yang ditetapkan oleh BDCB, termasuk membenarkan pekerja yang tidak diberi kuasa untuk menjalankan perniagaan kiriman wang bagi pihak syarikat berkenaan.

    Tambahan lagi, syarikat terbabit juga didapati tidak mempunyai sumber-sumber, kawalan dalaman dan prosedur yang mencukupi demi menjaga kepentingan pelanggan.

    BDCB akan memantau situasi ini secara berterusan dan, jika perlu, akan mengambil tindakan yang sewajarnya demi menjaga kepentingan orang ramai dan memastikan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam.

    Sebarang pertanyaan kepada BDCB boleh diajukan di talian +673 2381370 pada waktu pejabat atau e-mel Infomcr@bdcb.gov.bn

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda