Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    120 guru baharu sertai induksi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Bagi mendedahkan para peserta kepada aspek penting dalam kerjaya sebagai seorang tenaga pengajar dan penjawat awam di Kementerian Pendidikan, seramai 120 orang tenaga pengajar telah menyertai Program Induksi bagi Tenaga Pengajar Baharu 2023 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman. Turut hadir semasa sesi hari pertama program berkenaan ialah ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

    Dalam ucapan alu-aluan, Pemangku Pengarah Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Haji Tuah menyatakan bahawa bidang pendidikan juga tidak lari daripada terkesan oleh pandemik COVID dan dengan adanya tenaga pengajar yang telah dilengkapkan dengan kompetensi kemahiran, mampu menyesuaikan diri dan komited, ia telah banyak membantu dalam usaha pemulihan pendidikan khususnya bagi pelajar yang berkeperluan khas.

    “Dalam hal ini, saya menyeru agar guru-guru baharu hendaklah sentiasa bersedia, terus gigih dan menerampilkan kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam mendidik para pelajar dan lebih kreatif, dinamik dan dapat menyesuaikan diri dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran, dalam apa jua cabaran situasi yang dihadapi kelak,” tekannya.

    Kementerian Pendidikan, ulas Dayang Masdiah, akan sentiasa berusaha dan berterusan memberi sokongan, bimbingan serta menyediakan peluang untuk para pendidik bagi mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan daripada aspek pengajaran, pembelajaran dan perkembangan profesionalisme.

    Program anjuran Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan selama lima hari bermula hari ini hingga 6 Mac, antara lain bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada para peserta mengenai Peraturan-peraturan Am dan Peraturan Kerja, mengetahui hala tuju berkerjaya sebagai seorang pendidik dan seterusnya komited dalam mendukung visi dan misi Kementerian Pendidikan.

    Dayang Masdiah menyampaikan kata alu-aluannya di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    Antara tenaga pengajar baharu yang mengikuti program induksi, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda